Ahli Kimia Ini Kongsikan Tips Cara Nak Hilangkan Pijar Cili Di Tangan Dari Sudut Petua Dan Sains


Pijar cili ini biasa berlaku jika kita mengendali cili di dapur. Kemudian terasalah seakan 'pedas' di tangan kita tersebut. Ya kita biasa dengar pelbagai petua untuk hilangkan pijar. Tapi kali ini kita lihat dari suduh sains pula. Kenapa petua-petua tersebut berhasil menghilangkan pijar cili dalam ungkapan sains.

Kita boleh peroleh banyak petua untuk menghilangkan rasa pijar di tangan. Jadi antara petua-petua yang biasa kita dengar ialah mencuci tangan dengan sabun dan air, merendam atau meramas tangan dalam beras, guna minyak masak, garam, losyen, sapu ubat gigi, rendam dalam air berais batu, cuci dengan lemon, rendam dalam air suam, ramas dengan hampas kelapa, basuh dengan sabun mandi, gentel dengan garam atau gula, sapu minyak, rendam air garam, ramas dengan daun jambu, pegang sudu besi, ada yang biarkan saja ianya hilang sendiri dan yang pastinya ada yang elakkan pijar terus.

Menerusi petua-petua ini, ahli kimia ChM Dr Fatimah Salim telah kongsikan dari sudut sains bagaimana petua ini berhasil atau sebenarnya tidak berhasil untuk hilangkan rasa pijak tersebut.

Sebab Rasa Pijar Cili Di Tangan

Sebelum itu kita haruslah ketahui dahulu punca rasa pijar tersebut dan bagaimana ianya boleh berlaku.

Punca rasa pijar disebabkan oleh kehadiran bahan kimia semulajadi di dalam cili iaitu capsaicin. Ianya merupakan bahan kimia utama dalam cili yang memberikannya rasa pedas. Semakin banyak kandungan capsaicin dalam cili, semakin pedas rasa cili tersebut.

Memahami sifat kimia capsaicin sangat penting kerana ianya akan membantu dalam menerangkan sama ada petua-petua di atas sesuai atau tidak untuk digunakan.

Capsaicin merupakan bahan kimia dari kumpulan berfungsi alkaloid yang dikenali juga dengan nama capsaicinoids. Alkaloids biasanya bersifat basic. Namun kerana kehadiran kumpulan carbonyl (C=O) bersebelahan dengan atom nitrogen ( N) dalam struktur kimia capsaicin menyebabkannya berubah kutub (polarisation), lalu bersifat acidic. Struktur kimia capsaicin mempunyai ekor panjang yang bersifat hydrophobic (tidak memggemari air) yang membolehkannya larut dalam minyak, lemak atau larutan organik.


Semasa proses memotong cili, bahan kimia ini terbebas dan membuat ikatan dengan tisu kulit kita. Ikatan ini akan mengaktifkan protein yang bertanggungjawab untuk mengesan rasa panas dan sakit sederhana di kulit lalu menghantar maklumat ke otak. Otak akan mentafsir ianya sebagai rasa panas. Mekanisma ini akan membuatkan kita berasa pijar atau orang Putih panggil “burning sensation”.

Setelah mengetahui sifat bahan kimia penyebab rasa pijar atau pedas iaitu capsaicin, maka boleh lah kita menganalisa kebersandaran kepada petua-petua tadi yang sepatutnya memisahkan capsaicin dari tisu kulit:

Petua Vs Sains Pijar Cili

1.  Melarutkannya dalam cairan yang lebih digemarinya (like dissolves like)

Cuci dengan minyak masak, sabun mandi, losyen dan susu (mengandungi lemak protein casein yang boleh melarutkan capsaicin). Dan kemudiannya mencuci dengan sabun.

2.  Menukarkan sifat kimianya kepada yang lebih larut air

Mencuci dengan bahan berasid (asam jawa, cuka, lemon), air garam dan sapu ubat gigi.

3.  Juga dengan geseran kasar.

Ramas dengan hampas kelapa (kalau masih lagi bersantan, boleh melarutkan sekali capsaicin), ramas dengan garam dan gula sehingga cair (juga menukarkan sifat kimia capsaicin supaya lebih larut air), dan ramas dengan daun jambu batu.

4.  Merencatkan deria rasa panas

Rendamkan tangan dalam air berais.

5.  Meningkat tenaga molekul capsaicin dan protein pada kulit yang bertindakbalas agar mudah ditanggalkan.

Rendam air suam dan diang tepi api.

6.  Placebo

Pegang sudu dan abaikan saja.

7.  Menghindarkan daripada punca pijar. Ini “prevention is better than cure”.

Harus diingat, tahap pijar setiap individu adalah berbeza mengikut sensitivi kulit masing-masing. Maka, bolehlah anda mencuba mana-mana petua-petua yang bersesuaian. Jika kena dengan caranya, pasti menjadi!

Semoga bermanfaat!

sumber : ChM Dr Fatimah Salim
Baca Juga

0/Post a Comment/Comments

Recommended