Drama Kerana Cinta Itu Ada Di TV3

Drama Kerana Cinta Itu Ada Di TV3

Menyusuli Terima Kasih Cinta, drama Kerana Cinta Itu Ada akan mengisi slot Akasia bermula 28 Disember 2022, setiap Isnin hingga Ahad, pukul 7.00 malam menerusi saluran TV3 dan secara online di www.hotstar.com/my atau aplikasi Disney+ Hotstar.

Drama bersiri 28 episod yang diinspirasikan dari novel Kerana Cinta Itu Ada karya Sophilea ini merupakan terbitan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd., diarahkan oleh Azri Izhar dengan penulisan skrip daripada Sophilea sendiri bersama Zarihah Hassan.

Naskah ini dibintangi oleh barisan pelakon seperti Aedy Ashraf, Nabila Razali, Puteri Khareeza, Alvin Chong, Syazuwan Hassan, Raden Zaharatul, Anas Ridzuan, Emelda Rosemila, Edika Yusof, Mas Anizan, Dian P Ramlee dan ramai lagi.

Sinopsis Drama Kerana Cinta Itu Ada

Pertemuan Nabila Aulia ataupun Bella (Nabila Razali) dan Tengku Aisy Mateen (Aedy Ashraf) dimulakan dengan insiden pergaduhan kerana berebut bunga Lily di kedai bunga. Bella berhenti kerja di sebuah hotel dan pulang ke kampungnya.

Tengku Aisy mengambil keputusan untuk mengambil alih hotel milik bapanya setelah terdengar perbualan Zhafran (Syazuwan Hassan) dan ibu tirinya, Tengku Lydia (Emelda Rosemila)  yang ingin membolot semua saham hotel bapanya. Keputusan ini telah membawa kepada pertemuan semula Aisy dan Bella yang kini menguruskan resort milik keluarganya di kampung, Vila Paksina.

Zhafran memperkenalkan Dahlia (Puteri Khareeza) kepada ibu angkatnya, Tengku Lydia tapi Dahlia dihina oleh Tengku Lydia. Zhafran yang terpengaruh dengan kata-kata Tengku Lydia mula mengejar cinta Bella dan tinggalkan Dahlia.

Kedatangan Tengku Aisy telah menarik perhatian Dahlia. Dahlia cuba memikat Tengku Aisy tetapi Tengku Aisy telah melamar Bella sebagai isterinya. Dahlia semakin membenci Bella tetapi dia masih berbuat baik dengan Bella demi kepentingannya.

Menjelang hari pernikahan, Bella difitnah mempunyai hubungan dengan Rayyan (Alvin Chong). Oleh kerana trauma dengan kecurangan bekas tunang, Aisy terus menghukum Bella tanpa berfikir secara rasional. Aisy mahu memutuskan pertunangan tetapi Bella merayu Aisy untuk hadir ke majlis pernikahan demi maruah ibu bapanya. Aisy bersetuju dengan mengenakan syarat pada Bella.

Aisy menyakiti hati Bella dengan tindakan memilih Dahlia. Bella semakin terluka melihat Aisy dan Dahlia. Bella nekad sambung belajar dan meninggalkan surat untuk Aisy melepaskannya. Setelah beberapa tahun, Bella pulang ke Malaysia dan terkejut bahawa dia masih isteri yang sah kepada Aisy.

Masihkah ada peluang untuk Aisy membetulkan kesilapannya? Dapatkah Bella menerima Aisy kembali sebagai suaminya? Apakah yang terjadi kepada Dahlia yang sanggup mengkhianati sahabat baik demi kepentingan diri?

Jadi jangan ketinggalan untuk menyaksikan Kerana Cinta Itu Ada bermula 28 Disember 2022, setiap hari Isnin hingga Ahad (setiap hari), jam 7.00 malam di TV3 dan Disney+ Hotstar.

Drama Kerana Cinta Itu Ada Di TV3

Drama Kerana Cinta Itu Ada Di TV3

Post a Comment

Previous Post Next Post