Ikuti Resepi 8 Jenis Kuih Talam Yang Popular Dan Sedap Untuk Dibuat

Ikuti 8 Jenis Kuih Talam Yang Anda Boleh Buat Dengan Resepi Yang Dikongsikan

Anda teringin nak makan kuih talam tapi tak tahu nak buat dengan pelbagai jenis yang disediakan. Jangan risau, anda boleh tengok sini resepi 8 jenis kuih talam untuk anda buat sendiri.

Kuih Malaysia ni kalau dapat makan ketika waktu petang bersama keluarga, memang sedap la kan. Sambil nikmati pemandangan petang, dapat pula kuih talam sebagai contoh. Minum dengan teh o atau kopi, memang terangkat la kan.

Jadi jika anda terasa nak makan dan bercadang untuk buat sendiri, anda boleh tengok sini resepi untuk 8 jenis kuaih talam yang terkenal sekali dan terpaling sedap sekali. Jom cuba!

Resepi Kuih Talam

Kuih talam ini bukan kuih khusus pun. Ianya dinamakan kerana dibuat di dalam bekas talam je. Sebagai contoh kuih talam ni seperti bengkang ubi, kuih lapis, Kuih Seri Muka dan pelbagai lagi. Secara general, semua ini kuih talam.

#1.  Talam Kastard Jagung

Talam Kastard Jagung

Boleh gunakan loyang 10 inci


Bahan Untuk Lapisan Bawah:
  • 1 setengah cawan tepung beras
  • Setengah cawan tepung jagung
  • Setengah cawan tepung kastard
  • 1 cawan gula
  • 1 cawan jagung krim manis dalam tin
  • 3 setengah cawan santan
  • Sedikit perwarna kuning
  • Sedikit garam

Cara Membuat Lapisan Bawah:

  1. Satukan kesemua jenis tepung dalam sebuah mangkuk.
  2. Masukkan sedikit garam, gula dan santan. Gaul sebati dan tapiskan. Masukkan ke dalam periuk dan masak diatas api kecil sehingga naik wap.
  3. Masukkan jagung krim dan gaul lagi sehingga sebati.
  4. Alaskan loyang dengan plastik dan sapukan sedikit minyak. Tuang adunan tadi dan kukus selama 20 minit.

Bahan Untuk Lapisan Atas:

  • 2 cawan santan pekat
  • 1 cawan air pandan ( 3 helai daun pandan kisar bersama air dan jadikan 1 cawan jumlahnya)
  • 1 cawan tepung gandum
  • 2 sudu besar tepung jagung
  • 1 sudu besar tepung ubi
  • 2 biji telur
  • 2 sudu besar gula pasir
  • Secubit garam
  • Pewarna hijau/pandan

Cara Membuat Lapisan Atas:

  1. Masukkan kesemua bahan dalam sebuah mangkuk. Gaul sebati. ( Untuk lebih mudah, kisar sahaja ). Tapiskan.
  2. Masukkan adunan tadi ke dalam periuk dan masak hingga naik wap, menggunakan api kecil.
  3. Cakarkan sedikit permukaan adunan bawah tadi dan tuangkan adunan pandan ke atasnya dan kukus selama 20 minit.

Tips!
  • Semasa mengukus lapisan bawah dan atas, setiap 10 minit buka penutup kukus dan lapkan air yang terdapat di penutup kukus. Tutup semula dan kukus lagi selama 10 minit. Tujuannya untuk mengelakkan air bertakung di permukaan kuih.
  • Sekiranya terdapat sedikit air di permukaan kuih, sengetkan loyang sedikit dan buangkan air.

#2.  Talam Koleh Kacang

Talam Koleh Kacang

Bahan-bahan

Bahan A
  • 400gm gula merah
  • 100gm gula pasir
  • 1 helai daun pandan
  • 200gm air
*didihkan/ masakkan bahan2 di atas dan akan menghasilkan 600gm air gula

Bahan B
  • 300gm tepung kacang hijau
  • 1 suduh teh garam
  • 500 gm santan pekat
  • 900 gm air

Cara-Cara

  1. Masak bahan-bahan A sehingga mendidih hingga gula hancur. Tapiskan menjadi 600gm (Jangan sampai air gula pekat)
  2. Satukan bahan B, kacau hingga rata dan sebati dan tapiskan ke dalam periuk
  3. Masukkan bahan A ke dalam bancuhan B, kacau di atas api sederhana besar selama 1/2 jam.( Tuangkan 1 setengah sudu besar minyak supaya berkilat-amek minyak tahi minyak lagi sedap)
  4. Adunan hendaklah dikacau seperti dodol bila dikaup-balikan tidak melekat di dalam kuali
  5. Bila masak tuangkan ke dalam loyang yang telah dilapik plastik. Tabur tahi minyak ketika adunan masih panas supaya tahi minyak melekat di atas loyang bersize 10 x 10 x 1 1/2

Cara membuat tahi minyak

  • 300 gm santan pekat + 1/8 tsp garam
  • Masak dengan api perlahan sehingga menjadi tahi minyak dan warna kekuningan. Tapis supaya tahi minyak tidak hitam

#3.  Talam Vanila Chocolate

Talam Vanila Chocolate

 Menggunakan loyang 10x10x3 inci

Bahan Untuk Lapisan Bawah

  • 1 setengah cawan tepung beras
  • 1/4 cawan tepung jagung
  • 1/2 cawan tepung kastard
  • 1 cawan gula
  • 1 cawan santan pekat
  • 2 setengah cawan air
  • 2 biji telur-pukul sikit
  • 1 sudu kecil esen vanilla
  • secubit garam

Cara Menyediakan Lapisan Bawah

  1. Satukan kesemua jenis tepung dalam mangkuk.
  2. Masukkan sedikit garam, gula, telur dan santan.
  3. Gaul sebati dan tapiskan. Masukkan ke dalam periuk dan masak diatas api sederhana sehingga naik wap. Sentiasalah di kacau guna whisk supaya tak berketul-ketul.
  4. Alaskan loyang dengan plastik dan sapukan sedikit minyak. Tuang adunan tadi dan kukus selama 20 minit.
** Setiap 10 minit saya buka penutup kukus dan lapkan air yg terdapat di penutup kukus. Tutup semula dan kukus lagi selama 10 minit.(utk mengelakkan air bertakung di permukaan kuih..)

Bahan Untak Lapisan Atas

  • 1 cawan santan pekat
  • 2 cawan air
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1/4 cawan tepung jagung
  • 3 biji telur
  • 1 cawan gula pasir
  • Secubit garam
  • 1 sudu besar serbuk koko - bancuh dengan 4 sudu besar air suam
  • 1 sudu kecil coklat emulco

Cara Menyediakan Lapisan Atas

  1. Masukkan kesemua bahan dalam mangkuk kecuali coklat emulco dan serbuk koko. Gaul sebati, nak mudah blend kesemuanya.
  2. Masukkan adunan ke dalam periuk dan masak hingga naik wap, guna api kecil je.
  3. Cakar-cakarkan sedikit permukaan bawah tadi dan tuangkan adunan coklat ke atas lapisan vanilla tadi dan kukus selama 20 minit.
  4. Kukus 10 minit dan buka penutup kukus, lapkan air yang terdapat pada penutup kukus dan kukus lagi selama 10 minit. (jumlahnya 20 minit juga kan)

Tips

  • Sekiranya terdapat sedikit air di permukaan kuih, sengetkan loyang sedikit dan buangkan air yg terdapat di permukaan kuih, guna sudu je atau lapkan guna kitchen towel.
  • Sejukkan kuih, kuih ni hendaklah betul-betul sejuk barulah cantik bila di potong
  • Gunakan pisau plastik utk memotong apa-apa jenis kuih talam atau kuih lapis supaya cantik.

#4.  Talam Serimuka Pulut Hitam

Talam Serimuka Pulut Hitam

Bahan Lapisan Bawah:

  • 1 cawan pulut putih
  • 1 cawan pulut hitam
  • 3 cawan santan cair
  • 1 sudu kecil garam

Cara Membuatnya

  1. Rendamkan pulut hitam dan putih berasingan selama 3 jam.
  2. Gaulkan semua bahan dan masukkan dalam loyang.
  3. Kukuskan sehingga masak.
  4. Minyakkan sikit loyang lain, alaskan plastik dan tekankan pulut yang telah masak tadi
  5. Kukuskan semula dan gariskan pulut serta tuangkan adunan bahagian atas.

Bahan lapisan atas:

  • 3 cawan santan pekat + jus pandan + warna hijau
  • 3/4 cawan gula
  • 1/2 cawan tepung gandum
  • 1 sudu besar tepung kastard
  • 2 biji telur
  • 1 sudu teh garam

Cara Membuatnya

  1. Gaul rata semua bahan dan tapis
  2. Tuangkan perlahan-lahan atas pulut tadi
  3. Kukuskan lebih kurang 1/2 jam.
  4. Sejukkan dahulu baru potong. Siap!

#5.  Talam Pandan

Talam Pandan

Bahan Lapisan Bawah

  • 1 cawan tepung beras
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • 1/2 cawan gula
  • 2 cawan santan cair + sedikit garam
  • 1 cawan air daun pandan yang dah siap di blend dan tapis
  • 1 sudu besar air kapor

Cara Membuatnya

  1. Kacau semua bahan masuk dalam periuk dan masak atas api sampai naik wap.
  2. Kena kacau selalu
  3. Akhirnya tuang dalam acuan kukus

Bahan Lapisan Atas

  • 1/2 cawan tepung beras
  • 4 sudu besar tepung jagung
  • 3 cawan santan pekat
  • 1 sudu kecil garam

Cara Membuatnya

  1. Satukan semua bahan. Masak atas api sampai naik wap. Jangan lupa kena kacau selalu dan pastikan jangan sampai tepung bergentel
  2. Matikn api tuang atas lapisan pertama
  3. Kukus sampai masak. Siap!

#6.  Kuih Talam Ubi Kayu

Kuih Talam Ubi Kayu

Bahan-Bahan

  • 600 gm ubi kayu
  • 1 biji kelapa parut
  • Sedikit gula merah
  • Sedikit gula pasir
  • 1/2 cawan tepung gandum

Cara Membuatnya

  1. Ubi kayu diparut, diperah buang airnya. Kelapa diambil santan untuk membancuh adunan.
  2. Bancuh ubi dengan santan cair, gula merah dan gula putih, masukkan ke dalam loyang dan kukus.
  3. Sementara itu, bancuh bahagian kepalanya iaitu dua cawan santan pekat.
  4. Campurkan sedikit tepung gandum dan garam
  5. Apabila adunan ubi sudah masak, tuangkan adunan kelapa ke atasnya
  6. Kemudian kukus semula hingga masak. Siap!

#7.  Resepi Kuih Lapis Keladi

Resepi Kuih Lapis Keladi

Bahan A

  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 s/b tepung beras
  • 2 s/b tepung jagung
  • 1/2 cawan gula
  • 2 cawan santan
  • 1 s/k garam

Bahan B

  • 1/4 cawan air
  • 1 s/b pes keladi
  • Pewarna purple

Bahan C

  • 1/2 cawan keladi parut
  • 1/2 cawan air

Cara Membuatnya

  1. Gaulkan semua bahan A dan tapiskan.
  2. Bahagikan adunan pada 2 bahagian.
  3. Masukkan bahan B dalam 1 bahagian.
  4. Masukkan bahan C dalam 1 bahagian.
  5. Panaskan kukusan dan lapikkan pelastik dalam loyang 8 x 8 inci yang akan digunakan.
  6. Masukkan 1 cawan adunan bahan B dan kukus selama 5 minit.
  7. Lapiskan 1 cawan adunan bahan C dan kukus semula selama 15 minit
  8. Lapiskan adunan bahan B dan adunan bahan C berselang seli sehingga adunan habis.
  9. Sejukkan selama 4 - 5 jam dan potong untuk dihidangkan. Siap!


#8.  Talam Pulut Sekaya

Talam Pulut Sekaya

Bahan-Bahan

Lapisan Bawah:
  • 500gm beras pulut
  • 300ml santan pekat
  • 300ml air
  • Secubit garam halus
  • Sedikit minyak masak

Lapisan Atas:
  • 5 biji telur ayam
  • 4 biji telur itik
  • 4 keping gula melaka (saiz sederhana)
  • 1 helai daun pandan
  • 3 kuntum bunga cengkih (jika suka)
  • Secubit garam halus
.

Cara Membuatnya

  1. Rendam pulut sekurang kurangnya 4 jam. Basuh bersih dan toskan
  2. Campurkan pulut bersama santan air dan garam, kemudian kukus hingga masak.
  3. Lapikkan loyang dengan plastik yang disapu dengan sedikit minyak
  4. Tuangkan pulut ke dalamnya. *Tekan-tekan supaya pulut mampat dan kemas
  5. Taburkan sedikit tepung gandung di atasnya. Ketepikan
  6. Satukan telur dan bunga cengkih, lalu dipukul sedikit.
  7. Masak gula melaka dengan sedikit air dan daun pandan sehingga gula larut
  8. Tuangkan ke dalam adunan telur, gaul rata dan masukkan sedikit garam
  9. Seterusnya, tuangkan bancuhan ini di dalam loyang berisi pulut sebagai lapisan atas
  10. Kemudian kukus semula lebih kurang 30 minit dengan api sederhana.
  11. Angkat dari pengukus dan sejukkan sebelum dipotong.

sumber : senangnya masak

Post a Comment

Previous Post Next Post