TV Alhijrah Terima Anugerah No.1 Asean Most Promosing Islamic TV Station Di Jakarta

TV Alhijrah Terima Anugerah No.1 Asean Most Promosing Islamic TV Station Di Jakarta

Selepas siri pengiktirafan dan kejayaan berjaya ditempa di peringkat nasional, TV AlHijrah melangkah yakin melebarkan sayap dakwahnya sekaligus mencipta nama di persada antarabangsa.

Terbaharu, stesen televisyen yang mempromosikan gaya hidup Islam itu dipilih menjadi penerima anugerah di Majlis Penganugerahan Indonesia Award Magazine 2022 di Jakarta baru-baru ini.

Majlis penyampaian anugerah itu telah disempurnakan oleh Pak GP Rajasa Pranadewa, wakil Ketua Koordinator Indonesia Award Magazine kepada Ketua Kumpulan Integrasi Media & Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Saifulizan Sidek yang hadir mewakili Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Namanzee menjelaskan, panel juri sebulat suara memilih stesen TV AlHijrah berdasarkan kepada faktor keunikan yang dimiliki stesen Islam pertama di Malaysia itu.

“TV AlHijrah kini mula ‘diintai’ oleh negara-negara jiran berikutan produktiviti dan kualiti penerbitan programnya yang mendapat tempat, selain keunikannya sebagai platform dakwah Islam yang memanfaatkan teknologi canggih, media baharu dan kreativiti pada persembahannya.

“Satu lagi anugerah yang menterjemah keyakinan pelbagai pihak kepada TV AlHijrah. Bukan sahaja diterima di Malaysia, namun kali ini lebih manis apabila ia diterima dari negara jiran, Indonesia. Kita yakin ini satu pembakar semangat untuk meneruskan usaha dakwah kita malah pembuka jalan untuk kita menembusi industri penyiaran di negara jiran dalam pelbagai bentuk kerjasama,” katanya.

Tambah Namanzee, anugerah tersebut bakal menyuntik semangat kepada kakitangan untuk terus menyumbang kepada usaha mengukuhkan penyiaran Islam di peringkat global.

“Kami sangat bersyukur menerima anugerah ini dan berbangga membawa nama Malaysia serta penyiaran Islam ke peringkat antarabangsa. Semoga selepas ini, lebih banyak kerjasama di peringkat antarabangsa dapat dilaksanakan,” katanya sewaktu ditemui baru-baru ini.

TV Alhijrah Terima Anugerah No.1 Asean Most Promosing Islamic TV Station Di Jakarta

Sementara itu menurut Naib Pengerusi Indonesia Award Magazine, Rafanara Paramudya, panel juri sepakat mengurniakan anugerah itu kepada TV AlHijrah berdasarkan kriteria-kriteria, antaranya, tata kelola dan pengurusan yang baik, hubungan dengan pelabur dan pengiklan, tanggungjawab sosial, kredibiliti, dedikasi dan kesetiaan serta mempunyai misi strategik.

“Selepas membuat penilaian berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan, panel juri yang terdiri daripada pihak Indonesia Award Magazine, Success Research dan Indonesiaawardcentre.com sepakat memilih TV AlHijrah sebagai penerima anugerah bagi kategori ‘#No. 1 ASEAN Most Promising Islamic TV Station 2022’.” jelasnya.

Turut hadir pada majlis itu, Pengurus Berita dan Ehwal Semasa TV AlHijrah, Ardi Herman Mohd Mardzi. Hadir sama meraikan kejayaan TV AlHijrah, Norhaniza Mat Husain, Eksekutif Komunikasi Korporat TV AlHijrah.

Post a Comment

Previous Post Next Post