10 Resepi Rendang Tradisional Boleh Anda Sediakan Sendiri Di Rumah

10 Resepi Rendang Tradisional

Rendang sinonim dengan dengan Malaysia dan pasti ianya tidak crispy. Terdapat banyak resepi tradisional yang berkaitan dengan masakan rendang. Kebiasaanya ianya dimasak bersama daging, ikan atau ayam.

Biasanya masyarakat Melayu terutamanya akan jumpa rendang ketika Hari Raya yang biasa dimakan bersama lemang, nasi impit dan sebagainya. Tapi kali ini, tak perlu raya pun, kita boleh sediakan terus menu masakan rendang ini pada bila-bila masa. Jadi disini dikongsikan 10 resepi rendang tradisional yang anda boleh masak dan sediakan sendiri di rumah.

10 Resepi Masakan Rendang Tradisional

Dalam perkongsian ini ada melibatkan masakan bersama ayam, daging, ikan dan kerang

1)  Rendang Berempah

Rendang Berempah

▸ Bahan-Bahan (1)

  • 1 setengah kg ketul ayam (saiz ketulan ayam yang dibelah 16)
  • 2 cawan santan sawit KHALIS (Boleh juga guna pati santan kelapa biasa)
  • 200 gm kerisik
  • 1 keping asam keping (asam gelugor)
  • Beberapa helai daun limau purut
  • 4 - 5 biji cili padi merah, dipatahkan (pilihan)
  • 3 sudu besar gula merah
  • Garam secukup rasa

▸ Bahan-bahan (2)

  • 3 sudu besar serbuk rempah kari daging
  • 1 sudu besar serbuk ketumbar
  • 1 sudu besar serbuk jintan manis
  • 1 sudu besar serbuk jintan putih
  • 1 sudu besar serbuk cili halus
  • Air suam secukupnya

(Bahan-bahan no. 2 disatukan dan dibancuh dengan air suam, dijadikan pes)

▸ Bahan-bahan No.3

  • 2 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 2 batang serai
  • 3 cm lengkuas
  • 3 cm kunyit hidup
  • 5 cm halia
  • Air suam secukupnya

(Bahan-bahan No. 3 disatukan dan diblend halus)

▸ Bahan-bahan ditumis:

  • 1 senduk nasi minyak untuk menumis
  • 2 batang serai - diketuk
  • 2 inci kulit kayu manis
  • 4 biji buah pelaga
  • 2 kuntum bunga lawang

▸ Cara Masak

1.  Panaskan minyak di dalam kuali besar. Tumis serai, kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang sehingga naik bau.

2.  Kemudian masukkan bahan-bahan No. 2 yang telah dijadikan pes. Kacau rata dan biarkan ia masak seketika (selama 5 minit) sehingga naik bau.

3.  Masukkan pula bahan-bahan No. 3 yang telah dikisar halus dan dikacau rata. Masak sehingga terbit minyak.

4.  Setelah terbit minyak bolehlah dimasukkan ayam. Kaup balikkan ayam dengan adunan rempah tadi sehingga bersalut. Sekiranya kuah agak pekat, bolehlah dimasukkan 1 cawan air. Perlahan api, dan biarkan ayam mereneh selama lebih kurang 10 minit.

5.  Kemudian masukkan santan, kerisik, gula merah, garam secukup rasa, asam keping, daun limau purut dan cili padi merah. Kacau rata dan masak sehingga ayam empuk dan kuah agak pekat. Gunakan api yang sederhana dan kaedah mereneh.

6.  Sekiranya suka rendang berkuah, janganlah masak sehingga kering. Sebaiknya setelah ayam telah empuk, bolehlah diangkat. Siap untuk dihidangkan!


2)  Rendang Ayam Hijau

Rendang Ayam Hijau

▸ Bahan-Bahan

  • 1 ekor ayam, dipotong 12 bahagian
  • 250 ml santan
  • 2 sudu besar kerisik
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 2 keping asam gelugor
  • 2 helai daun kunyit - buang urat dan hiris halus
  • Setengah cawan minyak untuk menumis
  • Sedikit air jika perlu

▸  Bahan Kisar

  • 4 batang serai-hiris halus
  • 1 inci halia
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 inci lengkuas
  • 30 biji cili padi hijau
  • 4 tangkai cili hijau
  • 10 biji bawang merah
  • 1 labu bawang besar
  • 5 ulas bawang putih

▸  Cara Memasak

1.  Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan2 kisar hingga garing.

2.  Kemudian masukkan ayam dan kacau hingga rata.Selepas itu masukkan santan, kerisik, asam gelugor, gula dan garam secukup rasa.

3.  Kacau lagi di atas api yang perlahan dan masaklah hingga pekat. Masukkan daun kunyit.

4.  Bila cukup kering, bolehlah diangkat. Siap untuk dihidangkan!


3)  Rendang Tok

Rendang Tok

▸ Bahan-Bahan

  • 1 kg daging
  • 10 ulas bawang merah - dikisar halus
  • 5 ulas bawang putih - dikisar halus
  • 3 sm lengkuas - dikisar halus
  • 3 sm halia - dikisar halus
  • 5 batang serai - dikisar halus
  • 5 sudu cili giling - dikisar halus
  • Kunyit sedikit - dikisar halus
  • 2 helai daun kunyit - dihiris halus
  • 1 sudu makan ketumbar - disangai dan dikisar halus
  • 1 sudu makan jintan manis - disangai dan dikisar halus
  • 1 sudu makan jintan putih - disangai dan dikisar halus
  • 1 kg santan pekat
  • 50 gm gula Melaka
  • 3 sudu makan kerisik
  • 15ml air asam jawa
  • Garam secukup rasa

▸ Bahan Tumis

  • 2 batang kayu manis
  • 4 kuntum bunga lawang
  • 5 batang bunga cengkih
  • 6 biji buah pelaga

▸ Cara Memasak

1.  Gaulkan daging dengan ketumbar, jintan manis dan jintan putih yang telah dikisar, perap semalaman

2.  Setelah diperap, masukkan daging yang diperap ke dalam kuali. Masukkan sedikit air dan masak dengan api perlahan hingga daging empuk. Angkat dan ketepikan.

3.  Kemudian, panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan-bahan yang dikisar bersama kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga hingga naik bau atau pecah minyak.

4.  Selepas itu, masukkan daging dan gaul rata. Masukkan santan dan kerisik, kacau tanpa henti dengan api yang kecil.

5.  Masukkan air asam jawa, gula Melaka, daun kunyit dan kacau hingga kering. Bila rendang sudah kering, baru tambah garam secukup rasa. Siap untuk dihidangkan!


4)  Rendang Ayam Cili Padi

Rendang Ayam Cili Padi

▸ Bahan-Bahan

  • 10 ketul ayam
  • 15 biji cili api - separuh blend dan separuh lagi biarkan untuk digaul dengan ayam
  • 2 batang serai
  • 2 inci halia
  • 2 inci lengkuas
  • 2 inci kunyit hidup
  • 3 labu bawang besar
  • Garam secukup rasa
  • 2 helai daun kunyit - dihiris
  • Semangkuk kecil santan pekat - jika kurang boleh tambah lagi
  • Sedikit gula
  • Serbuk perasa

▸ Cara Memasak

1.  Blend cili, serai, halia, lengkuas, kunyit hidup serta 2 labu bawang besar.

2.  Masukkan kesemua bahan-bahan mesin tadi ke dalam kuali.

3.  Masukkan ayam masak sehingga kering, masukkan santan.

4.  Masukkan garam, gula serta serbuk perasa. Kacau hingga kering dan pecah minyak.

5.  Masukkan hirisan daun kunyit, suaikan rasanya dan siap untuk dihidang!


5)  Rendang Minang

Rendang Minang

▸ Bahan-Bahan

  • 1 kilo daging
  • 4 biji kelapa diambil santan pekat (santan cair diketepikan untuk blender bahan)
  • 2 batang serai dihiris *
  • 4 ulas bawang merah *
  • 3 buku bawang putih *
  • Halia - dihiris sebesar ibu jari *
  • 3 kali ganda besar halia, lengkuas dihiris nipis *
  • 8 helai daun limau purut diracik *
  • 1 helai daun kunyit yang agak lebar diracik *
  • Cili api mengikut kepedasan yang dikehendaki *
  • 1 sudu besar lada putih

▸ Cara Memasak

1.  Santan pekat dijerang sehingga agak pekat

2.  Bahan-bahan bertanda * diblender bersama sedikit santan cair dan garam dan digaul dengan daging yang telah dipotong-potong. Perap sebentar.

3.  Masukkan daging ke dalam santan dan masak sehingga kering. Rasakan garamnya. Apabila kuah pekat dan merecik-recik, ia hendaklah sentiasa di kacau atau aduk supaya tidak melekat.

4.  Siap untuk dihidangkan!


6)  Rendang Kerang

Rendang Kerang

▸ Bahan-Bahan

  • 3 kilo kerang(rebus & kupas kulit)
  • 5 b iji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 inci lengkuas
  • 2 inci halia
  • 2 batang serai dihiris
  • 15 tangkai cili kering(rebus)
  • 1 kilo santan
  • 1 keping asam gelugor
  • Daun kunyit
  • Daun limau purut
  • 1 batang serai diketuk.
  • Garam secukup rasa

▸  Cara Memasak

1.  Kisar cili kering dengan bawang, halia, serai, kunyit, lengkuas sehingga lumat. Kemudian panaskan sedikit minyak utk menumis bahan kisar.

2.  Bila bahan kisar dah naik bau wangi masukkan santan. Kacau sehingga kuah kering sedikit. Kemudian baru masukkan kerang rebus, asam keping, garam secukup rasa.

3.  Apabila hampir kering masukkan daun kunyit dan daun limau purut dan serai yg diketuk. Ikut kekawan lah nak kering macam mana ye.

4.  Lepas tu boleh diangkat dan siap dihidangkan!


7)  Rendang Ikan Tongkol

Rendang Ikan Tongkol

▸ Bahan-Bahan A

  • 1 ekor ikan tongkol - gunakan 2 ekor -1 kg - ketepikan bahagian kepala
  • 3 cawan santan dari sebiji kelapa
  • 2 sudu makan kerisik
  • 3 keping asam gelugur
  • 2 helai daun kunyit - dihiris halus
  • 3 helai daun limau purut - dikoyak
  • 1/2 cawan minyak masak
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit gula

▸ Bahan-Bahan B (dikisar)

  • 15 tangkai cili kering - gunakan 30 biji cili padi hijau
  • 5 biji cili api
  • 8 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 3 batang serai
  • 2 inci kunyit hidup

▸ Cara Memasak

1.  Potong ikan dan bersihkan.

2.  Panaskan minyak dan tumis Bahan B. Kacau hingga pecah minyak.

3.  Masukkan ikan tongkol, santan, kerisik, daun limauy purut, garam dan asam gelugur.

4.  Masak hingga pecah minyak dan pekat.

5.  Masukkan daun kunyit. Kacau rata dan angkat. Siap untuk dihidangkan!


8)  Rendang Daging

Rendang Daging

Penyediaan ini untuk saiz hidangan 2-3 orang

▸ Bahan-Bahan

  • 1 biji bawang besar (dikisar)
  • 2 biji bawang putih (dikisar)
  • 1 inci halia (dikisar)
  • 1 inci lengkuas (dikisar)
  • 1 inci kunyit hidup (dikisar)
  • 2 batang serai (dikisar)
  • 2 sudu besar pes rendang
  • 10 tangkai cili kering (rebus dan dikisar asing)
  • 2 sudu jintan manis (kisar kering)
  • 2 sudu ketumbar (kisar kering)
  • 2 sudu jintan putih (kisar kering)
  • 125 ml santan pekat
  • 4 sudu makan kerisik (dikisar halus)
  • Garam, gula & air asam jawa secukup rasa
  • Daun limau (hiris untuk hiasan)

▸ Cara Memasak

1.  Rebus daging dahulu selama sejam atau lebih. Pastikan daging empuk. Tips lembutkan daging ada orang letak daun betik/biji kurma masa rebus daging tu. Air rebusan daging jangan buang.

2.  Blend bahan kisar (bawang besar, bawang putih, lengkuas, kunyit hidup, halia, serai) dengan air. Jangan banyak sangat air, cukup-cukup paras bahan masuk dalam blender tu je.

3.  Rebus cili kering kemudian blend dengan air. Kuantiti air pun tak perlu banyak sangat. Cukup sekadar boleh pusingkan blender masa nak kisar tu.

4.  Kisar halus bahan jintan manis, jintan putih, ketumbar

5.  Sangan hampas kelapa/kelapa kasar (ada jual dalam paket) sekejap atas kuali tanpa minyak. Sangan sampai dia warna coklat sikit. Jangan lama sangat nanti hangus. Kemudian kisar halus kerisik ni.

6.  Masukkan minyak ke dalam kuali, tumis bahan kisar step no 2 (bawang-bawang halia etc), no 3 (cili kisar) dan masukkan sekali pes rendang. Biarkan sampai naik bau dan tumisan sedikit kering

7.  Masukkan pula bahan kisar step no 4. Gaul rata

8.  Masukkan kerisik yang disangan masa step no 5 tadi. Kerisik tidak sangan lama sangat. Cukup sekadar sampai warna kecoklatan sikit & bau kelapa naik. Gaul tumisan ni sampai kering sikit.

9.  Bila tumisan dah kering sikit, masukkan air asam jawa. Asam jawa ni tak payah banyak sangat. Letak secubit pun cukup. Buat rasa masam sikit-sikit je kat masakan rendang. Kalau terlebih nanti rendang rasa masam sangat. Biarkan sampai kuah tumisan kering sedikit.

10.  Masukkan daging yang da siap rebus awal-awal tadi

11.  Air rebusan daging jangan buang sebab korang boleh guna untk masukkan dalam masakan rendang jugak. Tujuan untuk menambah lagi rasa pada masakan

12.  Masukkan santan pekat. Guna santan kotak kecik 250 ml. Dya masukkan separuh kotak je. Gaul rata dan biarkan masak hingga kuah rendang kering. Guna api slow.

13.  Tunggu sampai kuah rendang kering macam dalam gambar. Gaul rata. Jangan lupa masukkan garam dan gula secukup rasa.

14. Bila dah masak, hias dengan hirisan daun limau untuk bau wangi pada masakan. Dah boleh makan dengan nasi putih dah. Siap untuk dihidangkan!


9)  Rendang Ayam

Rendang Ayam

▸ Bahan-Bahan

  • 1 ekor ayam
  • 2 cawan santan
  • 2 sudu kerisik
  • 2 helai daun kunyit diracik halus
  • Minyak untuk menumis
  • Garam dan gula secukup rasa

▸ Bahan-Bahan Dikisar

  • 21 batang cili kering
  • 2 labu bawang besar
  • 4 ketul kunyit hidup
  • 1 sudu ketumbar
  • 2 biji buah keras
  • 4 batang serai
  • 3 inci halia
  • 3 inci lengkuas

▸ Cara Memasak

1.  Tumis bahan dikisar hingga naik bau dan pecah minyak.

2.  Masukkan santan dan ayam, gaul rata.

3.  Tutup kuali dengan tudung kukus biarkan sebentar. Guna api kecil.

4.  Masukkan kerisik kacau rata. Perasakan dengan garam gula.

5. Masukkan daun kunyit, Siap untuk dihidang!


10)  Rendang Maman

Rendang Maman

▸ Bahan-Bahan

  • 1 kg daging/1ekor ayam kampung/itik/10 ekor puyuh/
  • 2 kg sayur maman
  • 2 kg santan/6 biji kelapa (perlu banyak santan)
  • Cili api ikut pedas anda
  • 8-10 keping asam keping
  • 2 buku kunyit hidup
  • Garam secukup rasa.

▸ Cara Memasak

1.  Siang daun maman, basuh dan tus terlebih awal supaya daun maman tidak terlalu basah,

2.  Bersihkan daging dan masukkkan ke dalam kuali.

3.  Kunyit dan cili api dikisar dan campurkan ke dalam daging tadi.

4.  Kecutkan daging bersama air cili tadi sehingga agak kering, baru masukkan santan.(Kalau kelapa parut,perah lah terlebih dahulu, ambil santan pekat-pekat). Kalau bahan daging tadi agak keras masukkan dulu santan cair. Kalau tiada santan cair, masukkan air cili kisar tadi lebih-lebih.

5.  Kacau bahan daging dan air cili itu supaya rata. Masukkan garam. Kalau puyuh, dagingnya lembut, eloklah dikeluarkan dulu dan biarkan santan itu mendidih sampai pekat.

6.  Setelah pekat masukkan asam keping. Nampak santan tersebut sudah terbit minyak dan pekat baru masukkan daun maman tadi.

7.  Jangan dikacau terlalu kuat, kerana dikhuatiri keluar air pahitnya. Buat perlahan-perlahan supaya daunnya semua layu dan tenggelam.

8.  Setelah semuanya layu, barulah dikacau rata-rata dan rasa garamnya.

9.  Biarkan ramuan tersebut pekat semula dan terbit minyak, barulah boleh diangkat. Siap untuk dihidangkan!


sumber : resepi ibu

Post a Comment

Previous Post Next Post