Apa Perlu Buat Jika Anak Terjatuh Atau Terhantuk Kepala?

Apa Perlu Buat Jika Anak Terjatuh Atau Terhantuk Kepala?

Mungkin situasi ini pernah berlaku atau mungkin berlaku (mohon dijauhkan) apabila anak kita terjatuh atau terhantu kepala. Apa yang perlu dibuat oleh ibu bapa terutamanya?

Seorang Doktor perubatan, Dr Kamarul Ariffin ada kongsikan tips, langkah dan cara kenalpasti keadaan apabila anak terjatuh atau terhantu kepala. Mungkin ada beberapa situasi yang boleh kita rawat sendiri atau perlukan rawatan doktor dengan kadar segera.

Anak adalah tanggungjawab ibubapa. Mereka masih kecil dan tidak tahu banyak perkara. Jadi sebagai ibubapa lah perlu tahu bagaimana keadaan anak kita apabila berlaku sesuatu kejadian yang pastinya moga dijauhkan. Tapi jika berlaku juga apa yang perlu dibuat?

 Apa Perlu Buat Kalau Anak Terjatuh Atau Terhentak Kepala?

Terdapat 8 situasi kesan daripada terjatuh yang menyebabkan hentakan kepala yang dikongsikan oleh Dr Kamarul di laman Twitter beliau @dr_chaku. Untuk ketahui lebih lanjut berkaitan tips kecemasan untuk si kecil, boleh dapatkan eBook tersebut.

1.  Lebam

Ini tanda kecederaan tisu badan seperti otot, tendon, lemak, kulit dan kapilari (salur darah halus). Jika keadaan lebam sangat keras, besar, dan berwarna sangat gelap, bawa jumpa doktor. Khuatir berlaku hematoma iaitu pendarahan di bawah kulit.

2.  Luka

Jika ternampak darah, periksa saiz luka. Jika lebih lebar dari lebar satu jari, perlu bawa jumpa doktor. Sementara itu, cuci sekali dengan air bersih, kemudian tekap. Tak usah cuci berulang kali. Darah hanya akan berhenti bila kita tekap luka

3.  Retak

Jika ada nampak keadaan ganjil pada bentuk kepala anak, cuba raba kepalanya. Khuatir ada keretakan pada tengkorak. Hanya keretakan sehingga tulang tengkorak terbenam atau terangkat dapat dirasa. Jika tak pasti, bawa jumpa doktor.

4.  Menangis Tidak Henti (Inconsolable Cry)

Jika anak kecil (berumur kurang 3 tahun) menangis tanpa boleh dipujuk, kemungkinan anak mengalami sakit kepala. Sakit kepala berpanjangan mungkin akibat kecederaan otak. Bawa jumpa doktor.

5.  Pandangan Kabur

Bahagian otak yang memproses penglihatan terletak pada bahagian belakang kepala. Jika terhantuk di bahagian belakang kepala dan selepas itu pandangan jadi kabur, mungkin ada kecederaan otak. Bawa jumpa doktor dengan segera.

6.  Pengsan

Selepas terhantu dan anak tidak sedarkan diri, mungkin berlaku kecederaaan otak. Kecederaan otak yang boleh berlaku adalah: gegaran (Concussion), lebam (Contusion), atau pendarahan. Bawa jumpa doktor.

7.  Muntah

Kadang-kadang lepas terhantuk, anak akan muntah. Tetapi jika anak muntah berterusan, ia mungkin tanda ada kecederaan otak. Muntah-muntah ini boleh disebabkan kerana tekanan dalam otat meningkat. Bawa jumpa doktor.

8.  Sawan

Ini juga salah satu tanda berlakunya kecederaan otak. Simptom sawan adalah, anak mata naik ke atas, mulut berbuih, bibir biru, kejang leher serta tangan dan kaki, terkencing, terberak, dan lain-lain. Jika berlaku salah satu simptom ini, jumpa doktor.

Apa Perlu Buat Jika Anak Terjatuh Atau Terhantuk Kepala?

Sebahagian simptom atau keadaan yang disebutkan diatas kadang-kadang tidak terjadi serta merta selepas terjatuh atau terhantu kepala, mungkin berlaku lewat sedikit. Mungkin seharian. Jadi ibubapa perlu pantau anak-anak dalam masa 24 hingga 48 jam selepas kejadian

Jika tiada tanda-tanda yang membimbangkan, boleh beri Paracetamol dan letakkan tuaman ais pada kawasan yang terhantuk untuk mengurangkan sakit dan mengelakkan bengkak yang besar. Boleh tuam selama 5-10 minit dan diulang 3 kali sehari.

Nasihat terakhir kepada ibubapa, jika anak jatuh, buatlah keputusan ikutlah naluri hati seorang ibu. Walaupun anak kelihatan elok sahaja tetapi ibu risau dan ragu, maka bawalah jumpa doktor. Tak apa jika terlebih waspada, daripada terlebih ambil ringan.


sumber : twitter Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan

Post a Comment

Previous Post Next Post