Jabatan Mufti Negeri Melaka Kongsikan Panduan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ketika PKP

Jabatan Mufti Negeri Melaka hari ini telah mengumumkan garis panduan sambutan Hari Raya Aidilfitri ketika tempoh PKP berlangsung.

Jabatan Mufti Negeri Melaka Kongsikan Panduan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ketika PKP

Kita sedia makluman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilajutkan lagi 2 minggu iaitu bermula 29 April hingga 12 Mei 2020 bagi Fasa 4. Sepanjang ini, anda masih lagi tidak dibenarkan untuk keluar rumah tanpa kebenaran daripada pihak polis atau hanya sekadar membeli barangan keperluan sahaja.

Jika PKP selepas ini dilanjutkan lagi untuk fasa seterusnya, pasti banyak amalan Hari Raya yang kita tidak boleh dibuat seperti tahun sebelum-sebelum ini antaranya adalah Solat Sunat Aidilfitri. Justeru itu, Jabatan Mufti Negeri Melaka telah mengeluarkan panduan sambutan Hari Raya yang diberi khusus kepada penduduk Melaka dan mungkin penduduk di negeri lain mempunyai garis panduan tersendiri berdasarkan keputusan Jabatan Mufti Negeri masing-masing.

Garis panduan ini mempunyai 3 bahagian iaitu panduan Solat Hari Raya, panduan Takbir Hari Raya dan panduan Amalan Menyambut Aidilfitri sepanjang tempoh PKP.

Panduan Solat Hari Raya Aidilfitri Dalam Tempoh PKP

  • Solat sunat hari raya hendaklah dilaksanakan di rumah masing-masing
  • Solat sunat hari raya boleh dilaksanakan tanpa atau dengan khutbah mengikut kemampuan dan keselesaan
  • Hanya dibenarkan berjemaah dalam kalangan ahli keluarga dalam rumah tersebut sahaja
  • Ahli keluarga yang baru sembuh dari COVID-19 dan diarahkan untuk kurantin di rumah tidak dibenarkan menyertai solat sunat secara berjemaah. Walau bagaimanapaun, boleh dilakukan secara bersendirian
  • Pesakit dan petugas di hospital dibenarkan melaksanakan solat sunat hari raya tertakluk kepada peraturan dan arahan yang ditetapkan oleh pihak KKM
  • Bagi petugas yang diamanahkan bertugas di masjid dan surau, mereka boleh melaksanakan solat sunat hari raya tertakluk kepada pekeliling dan arahan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri
Jabatan Mufti Negeri Melaka Kongsikan Panduan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ketika PKP

Jabatan Mufti Negeri Melaka Kongsikan Panduan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ketika PKP

Panduan Takbir Hari Raya Aidilfitri

  • Takbir hari raya merupakan syiar Islam yang disunatkan untuk dilakukan bermula terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan dan berpanjangan sehingga selesai solat hari raya dilaksanakan
  • Takbir hari raya di masjid dan surau hanya dilakukan oleh imam, bilal dan siak sahaja atau dengan menggunakan rakaman
  • Digalakkan untuk setiap keluarga melaungkan takbir hari raya di rumah masing-masing
  • Takbir dari rumah ke rumah pada malam hari raya adalah tidak dibenarkan
  • Pengendali stesen radio dan televisyen disarankan untuk menyiarkan rakaman takbir hari raya yang sedia ada dengan meletakkan kapsyen "Rakaman ini telah dibuat sebelum tempoh PKP"

Panduan Amalan Menyambut Aidilfitri

  • Amalan ziarah menziarahi dibuat dengan menggunakan alat telekomunikasi dan media sosial sebagai pengganti diri
  • Rumah terbuka Aidilfitri tidak boleh dibuat
  • Bacaan Yaasin dan Tahlil boleh diadakan di rumah selepas solat sunat hari raya bagi menggantikan amalan menziarahi kubur pada hari raya
  • Amalan menghadiahkan kuih-muih sempena hari raya boleh dilaksanakan dengan tatacara yang bersesuaian dengan perintah keselamatan dan taklimat kesihatan

Tidak boleh tidak, selagi belum menemui vaksin COVID-19 ini, kita perlu sentiasa berwaspada dengan melakukan penjarakan sosial bagi mengelakkan penularan virus ini. Tempat-tempat seperti masjid, pastinya tidak boleh dibuka lagi sehingga dibenarkan kelak.

Post a Comment

Previous Post Next Post