Apakah Hukum Makan Daging Yang Disangkakan Halal Kemudian Berlaku Syubhah?

Apakah Hukum Makan Daging Yang Disangkakan Halal Kemudian Berlaku Syubhah?

Beberapa hari ini kecoh apabila diketahui daging yang disangkakan halal kemudian dapat tahu cop halal tersebut adalah tipu. Apakah hukumnya jika kita sudah makannya sebelum ini?

Dengan keresahan ini, khususnya umat Islam pastinya mencari solusi terbaik untuk diri dan keluarga. Manakan tidak, isu kartel daging import ini katanya sudah beroperasi selama 40 tahun lamanya. Kemudian dapat tahu, ianya adalah tidak halal.

Jadi bagaimana kita yang sudah makan dan ambilnya selama ini. Apa yang perlu kita buat? Oleh itu, Mufti Wilayah Persekutuan tampil mengeluarkan fatwa dengan kongsikan jawapan dari sudut hakum hakam dengan timbulnya syubhah

Hukum Ambil Daging Syubhah Tetapi Pada Awalnya Disangkakan Halal

Umat Islam yang telah memakan daging import sebelum timbul isu syubhah daging import yang berlaku baru-baru ini, maka hukumnya adalah dimaafkan. Perkara ini berlandaskan dalil-dalil Syara’ yang memberikan hukum berdasarkan kepada keadaan asalnya iaitu halal sehingga terdapat bukti yang mengubahnya serta diberikan keuzuran dan keringanan dalam perkara yang tidak disengajakan dengan syarat penelitian melalui logo halal pada paket pembungkus sudah dilakukan terlebih dahulu.

Huraian Jawapan

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقۡنَٰكُمۡ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu…” Surah al-Baqarah (172)

Allah SWT memerintahkan kepada umatnya untuk mencari sumber rezeki yang paling baik dan halal. Setiap makanan yang dimakan akan menjadi darah daging kepada seseorang. Hal ini kerana, jika seseorang memakan makanan yang haram dan syubhah maka hatinya akan menjadi gelap. 

Selain itu, setiap daging yang tumbuh daripada perkara yang haram nescaya azab neraka baginya. Oleh itu, benarlah sabda Nabi SAW:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan”. Riwayat Muslim (107)

Hukum Memakan Daging Yang Diimport Menggunakan Logo Halal Palsu

Secara asasnya, berkenaan pengambilan makanan daripada daging haiwan sembelihan dan buruan, ulama Syafi’eyyah seperti Imam Nawawi menyebutkan suatu kaedah bahawa “hukum asal bagi daging haiwan sembelihan adalah haram” melainkan dipastikan terlebih dahulu kesemua haiwan tersebut telah menepati syarat sah sembelihan yang ditetapkan oleh Syarak.

(Rujuk: Syarh Sahih Muslim, 13/116)

Merujuk kepada konteks di Malaysia, keyakinan pembeli sudah terbina di atas kejelasan logo halal yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti seperti JAKIM dan pihak-pihak lain yang diiktiraf pada bungkusan daging yang dibeli. Logo halal yang diletakkan pada setiap pembungkus makanan sama ada bersifat mentah atau yang telah diproses amat membantu umat Islam dalam memastikan status halal sesuatu produk makanan.

Hukum asal memakan daging import yang mempunyai logo halal yang dikeluarkan oleh badan-badan yang berautoriti adalah halal kerana ia telah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pensijilan halal yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). 

Hukum asal tersebut akan kekal sehingga terdapat bukti atau dalil yang mengubah atau menukarkan keadaannya. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang telah ditetapkan oleh para ulama’ seperti yang disebut oleh Imam al-Suyuti:

الأصل بقاء ما كان على ما كان

Maksudnya: “Pada dasarnya sesuatu hukum itu kekal mengikut hukum asalnya”. (Rujuk: al-Ashbah wa al-Nazoir, 72)

Namun begitu, berdasarkan isu daging import yang berlaku, sekiranya pengguna sudah memakan daging yang pada asalnya diyakini halal kemudian diragui status halalnya kerana kemungkinan dipalsukan logo halalnya, maka hukum memakan daging tersebut dimaafkan kerana dilakukan secara tidak sengaja. Ini berpandukan kepada firman Allah SWT,

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. Surah al-Ahzab (5)

Dalam ayat yang lain, Allah SWT juga mengajarkan sebuah doa agar diampunkan segala tindak tanduk yang dilakukan secara tidak sengaja melalui firman-Nya,

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah”. Surah al-Baqarah (286)

Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (8/450) menyebutkan sebuah hadis masyhur, 

رُفِعَ عَنْ أُمَّتِيْ الخَطَأُ وَالنِّسْيَانُ وَمَا اسْتُكْرِهُوْا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Telah diangkat (diampunkan) dalam kalangan umatku yang tersalah, terlupa dan dipaksa”. [Imam al-Nawawi menghukum hadis ini sebagai sahih]

Tambahan pula, sebahagian ulama seperti Ibn Hazm meletakkan satu kaedah yang menyebut,

ما غاب عنا لا نسأل عنه

Maksudnya: “Perkara yang terselindung daripada kita, maka kita tidak perlu bertanya tentangnya”. (Rujuk: al-Muhalla bi al-Athar, 6/148)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, umat Islam yang telah memakan daging import sebelum timbul isu syubhah daging import yang berlaku baru-baru ini, maka hukumnya adalah dimaafkan. Perkara ini berlandaskan dalil-dalil syarak yang memberikan hukum berdasarkan kepada keadaan asalnya iaitu halal sehingga terdapat bukti yang mengubahnya dan memberikan keuzuran dan keringanan dalam perkara yang tidak disengajakan dengan syarat penelitian melalui logo halal pada paket pembungkus sudah dilakukan terlebih dahulu.

Wallahu a’lam.


Baca Juga

0/Post a Comment/Comments

Recommended