Hari Kiamat Yang Sebenar Tidak Akan Dihadapi Oleh Orang Mukmin

Hari Kiamat Yang Sebenar Tidak Akan Dihadapi Oleh Orang Mukmin

Timbul persoalan, betul ke ketika berlaku kiamat atau pada hari Kiamat yang sebenar nanti tidak akan dihadapi oleh orang Mukmin? Ini bermaksud, ketika berlaku kiamat, orang mukmin dimatikan terlebih dahulu?

Kita biasa dengan perkongsian daripada ilmuan-ilmuan, ustaz-ustaz tentang tanda-tanda besar yang berlaku sebelumnya kiamat sebenar. Ada fitnah Dajjal, asap (dukhan), matahari terbit daripada barat dan sebagainya. Kesemua tanda ini akan dilihat bagi setiap daripada manusia.

Setiap daripada manusia termasuk orang beriman yang hidup semasa tanda-tanda besar Kiamat tersebut berlaku pasti akan terkena ujian dan fitnahnya untuk menguji keimanan mereka. Tapi adakah semasa kiamat sebenar berlaku, orang beriman ini juga akan terkena ujiannya iaitu selepas tanda besar Kiamat berlaku?

Jawapan tersebut telah pun dikongsikan dan diterangkan melalui Irsyad Al-Fatwa Siri ke-310 : Adakah Lebih Baik Meninggal Dunia Sebelum Kiamat? melalui pautan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Adakah Orang Mukmin Merasai Hari Kiamat Sebenar?

Hari Kiamat Yang Sebenar Tidak Akan Dihadapi Oleh Orang Mukmin


إِنَّ السَّاعَةَ آتِيَةٌ أَكَادُ أُخْفِيهَا لِتُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا تَسْعَىٰ

Maksudnya: “Sesungguhnya hari Kiamat itu tetap akan datang (yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya) supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang dia usahakan”.

Hari Kiamat yang sebenar tidak akan dihadapi oleh orang mukmin kerana Allah SWT akan mengutuskan angin yang lembut untuk mencabut roh setiap orang yang beriman supaya mereka tidak melihat dan merasai kedahsyatan hari Kiamat. Beberapa hadith telah menunjukkan bahawa kejadian keluarnya angin ini berlaku setelah turunnya Nabi ‘Isa AS dan terbunuhnya Dajjal dan binasanya Ya’juj dan Ma’juj, iaitu setelah berakhirnya tanda-tanda besar Kiamat.

Terdapat sebuah riwayat yang thabit tentang sifat angin yang bertiup tersebut, ia adalah angin yang lebih lembut daripada sutera. Hal itu merupakan kemuliaan yang Allah SWT berikan kepada hamba-hambaNya yang beriman pada zaman yang penuh dengan fitnah ini. Hal ini dapat dijelaskan berdasarkan riwayat yang terdapat dalam hadith panjang yang menceritakan tentang kisah Dajjal, turunnya nabi Isa AS, serta keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, dan kemudiannya datangnya angin ini. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Nawwas bin Sam’an RA, bahawa Rasulullah SAW menceritakannya dalam petikan hadith tersebut:

إِذْ بَعَثَ اللهُ رِيحًا طَيِّبَةً، فَتَأْخُذُهُمْ تَحْتَ آبَاطِهِمْ، فَتَقْبِضُ رُوحَ كُلِّ مُؤْمِنٍ وَكُلِّ مُسْلِمٍ، وَيَبْقَى شِرَارُ النَّاسِ، يَتَهَارَجُونَ فِيهَا تَهَارُجَ الْحُمُرِ، فَعَلَيْهِمْ تَقُومُ السَّاعَةُ

Maksudnya: ”Tiba-tiba Allah mengutus angin yang lembut, sehingga (angin tersebut) mengambil (mematikan) mereka dari bawah ketiak-ketiak mereka, lalu diambillah setiap roh orang mukmin dan muslim, dan yang berbaki hanyalah manusia yang paling jahat. Mereka menggauli wanita-wanita mereka secara terang-terangan bagaikan keldai, maka kepada merekalah Kiamat akan terjadi.”

Riwayat Muslim (2937)

Daripada Abdullah bin ‘Amr R.anhuma, beliau berkata, Rasulullah SAW menceritakan:

يَخْرُجُ الدَّجَّالُ فِي أُمَّتِي فَيَمْكُثُ أَرْبَعِينَ - لا أَدْرِي: أَرْبَعِينَ يَوْمًا، أَوْ أَرْبَعِينَ شَهْرًا، أَوْ أَرْبَعِينَ عَامًا فَيَبْعَثُ اللهُ عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ كَأَنَّهُ عُرْوَةُ بْنُ مَسْعُودٍ، فَيَطْلُبُهُ فَيُهْلِكُهُ، ثُمَّ يَمْكُثُ النَّاسُ سَبْعَ سِنِينَ، لَيْسَ بَيْنَ اثْنَيْنِ عَدَاوَةٌ، ثُمَّ يُرْسِلُ اللهُ رِيحًا بَارِدَةً مِنْ قِبَلِ الشَّأْمِ، فَلا يَبْقَى عَلَى وَجْهِ الأَرْضِ أَحَدٌ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ خَيْرٍ أَوْ إِيمَانٍ إِلاَّ قَبَضَتْهُ، حَتَّى لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ دَخَلَ فِي كَبِدِ جَبَلٍ لَدَخَلَتْهُ عَلَيْهِ، حَتَّى تَقْبِضَهُ

Maksudnya: “Dajjal keluar kepada umatku dan menetap selama 40 – (Perawi hadith ini berkata: Aku tidak tahu: 40 hari atau 40 bulan atau 40 tahun), kemudian Allah mengutus Isa bin Maryam seakan-akan ia adalah ‘Urwah bin Mas’ud, lalu beliau (Nabi Isa AS) mencarinya (Dajjal), kemudian membinasakannya. Seterusnya manusia berdiam selama tujuh tahun di mana tidak ada permusuhan di antara dua orang. Lalu Allah mengutus angin dingin dari arah Syam, tidak ada seorang pun di muka bumi yang memiliki kebaikan atau keimanan sebesar biji sawi di dalam hatinya melainkan Allah mencabutnya, walaupun seseorang di antara kalian masuk ke tengah-tengah gunung niscaya angin tersebut akan memasukinya sehingga ia mencabutnya (mematikannya).”

Riwayat Muslim (2940)

Hari Kiamat ini akan berlaku selepas ketiadaan orang beriman sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لا يُقَالَ فِي الأَرْضِ: اللهُ، اللهُ

Maksudnya:“Tidak akan terjadi Kiamat, sehingga tidak ada lagi orang di muka bumi ini menyebut: Allah… Allah…"

Riwayat Muslim (148)

Hanya orang-orang tidak beriman dan sejahat-jahat manusia sahaja yang akan berhadapan dengan hari Kiamat ini, sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مِنْ شِرَارِ النَّاسِ مَنْ تُدْرِكْهُمُ السَّاعَةُ وَهُمْ أَحْيَاءٌ

Maksudnya: “Termasuk manusia yang jahat adalah yang mengalami ketika terjadinya Kiamat sedangkan ia dalam keadaan hidup.”

Riwayat al-Bukhari (7067)

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan oleh beliau juga, Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا تَقُومُ السَّاعَةُ، إِلاَّ عَلَى شِرَارِ النَّاسِ

Maksudnya: “Tidak akan berlaku Kiamat, kecuali terhadap manusia-manusia yang jahat.”

Riwayat Muslim (2949)

Imam al-Munawi menyatakan dalam syarahnya: “Dan demikian Allah mengutuskan angin yang lembut, maka diambil roh setiap orang yang beriman sehingga tidak ada yang tinggal kecuali sejahat-jahat manusia. Demikian pula, sesungguhnya terjadi keluarnya angin tersebut setelah matahari terbit dari barat, setelah keluarnya binatang besar (dari perut bumi) juga pelbagai tanda-tanda besar Kiamat yang lainnya.” (Lihat Faidh al-Qadir, 6/417)

Justeru, keluarnya angin daripada arah Syam sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr RA, sangat dekat dengan terjadinya Kiamat dan setelah berlakunya tanda-tanda Kiamat yang besar.

Namun terdapat hadith lain yang mengatakan angin tersebut datang daripada arah Yaman sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ يَبْعَثُ رِيْحًا مِنَ الْيَمَنِ، أَلْيَنُ مِنَ الْحَرِيْرِ، فَلاَ تَدَعُ أَحَدًا فِـيْ قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ إِيْمَانٍ إِلاَّ قَبَضَتْهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengutuskan angin dari arah Yaman yang lebih lembut daripada sutera, angin itu tidak akan pernah meninggalkan seorang pun yang di dalam hatinya terdapat keimanan seberat biji sawi melainkan dia mencabutnya (mewafatkannya).”

Riwayat Muslim (117)

Berkenaan pertembungan antara hadith yang menyatakan angin tersebut datang dari Syam dan hadith yang menyatakan ianya datang dari arah Yaman, Imam al-Nawawi menyatakannya dengan dua jawapan:
  • Pertama: Kemungkinan akan ada dua angin, iaitu dari arah Syam dan juga dari arah Yaman.
  • Kedua: Kemungkinan juga bahawa pada awalnya angin tersebut datang dari salah satu di antara dua daerah tersebut, kemudian sampai ke arah salah satu dari dua arah itu, dan angin tersebut menyebar di sana. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/133)


Post a Comment

Previous Post Next Post